-A A +A
  • Black/White
  • White/Black
  • Yellow/Blue
  • Standard

Current Style: Standard

You are here

The First Phase Independence, 1957-1970

Ketika negara mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957,aktiviti ekonomi negara adalah berasaskan komoditi utama dengan pergantungan tinggi kepada getah dan timah yang menyumbang sebanyak 70 peratus kepada jumlah pendapatan eksport, 28 peratus kepada pendapatan Kerajaan dan 36 peratus kepada jumlah pekerjaan. Dalam tempoh 1957 sehingga 1970, ekonomi berkembang sebanyak 6 peratus setahun dengan sektor swasta menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi. Pelaburan swasta berkembang sebanyak 7.3 peratus setahun dalam tempoh tersebut.

Kerajaan untuk negara yang baru merdeka telah mangambil langkah yang strategik untuk mengatasi kelemahan struktur ekonomi dengan memberi tumpuan kepada mengembangkan dan memodenkan pengeluaran pertanian serta menekankan pembangunan luar bandar. Penggantian import adalah strategi yang digunakan untuk menggalakkan pembangunan industri yang memberi tumpuan kepada industri berasaskan sumber seperti getah dan timah.

Hasil daripada kemajuan yang dicapai dalam pertanian dan perkilangan termasuk utiliti, perkhidmatan dan sektor-sektor lain, Malaysia telah muncul pada akhir 1960an dengan asas ekonomi yang lebih dalam, lebar dan kukuh. Sumbangan eksport barangan dan perkhidmatan kepada KNK menurun daripada 52.6 peratus pada tahun 1960 kepada 45.1 peratus pada tahun 1970, manakala sumbangan getah dan timah dalam eksport keseluruhan barangan juga menurun daripada 70 peratus kepada 53 peratus dalam dekad tersebut. Oleh yang demikian, pada tahun 1970, fasa pertama daripada transformasi ekonomi Malaysia, iaitu kepelbagaian pertanian, telah menampakkan kesan iaitu kayu balak dan minyak kelapa sawit muncul sebagai komoditi eksport terpenting. Dengan penemuan telaga minyak di pesisir pantai Sarawak, pengeluaran petroleum mentah pula semakin penting. Pertumbuhan sebanyak 6 peratus setahun bagi tempoh tersebut adalah melepasi sasaran 5 peratus yang ditetapkan oleh Pembangunan Dekad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi negara-negara sedang membangun.

 

High Growth with Equity Period, 1971-1983

Walaupun ekonomi telah meningkat kukuh, kedudukan kemiskinan dan jurang pendapatan di antara pelbagai kaum telah menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Sehubungan itu, dasar perlu digubal bagi menagani isu tersebut. Ini membawa kepada penilaian yang kritikal dan anjakan besar dalam pembentukan dasar pembangunan. Dasar Ekonomi Baru (DEB), 1971-1990 telah digubal dengan dua matlamat iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Falsafah asas DEB adalah pertumbuhan dengan ekuiti dan perpaduan nasional.

Untuk membasmi kemiskinan, program yang dilaksanakan termasuklah menyediakan input dan kemudahan yang lebih baik di kawasan pertanian, menyerapkan keluarga miskin ke dalam pertanian moden dan lain-lain sektor melalui penyediaan peluang pekerjaan yang produktif. Di samping itu, penyediaan perkhidmatan sosial seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan air serta elektrik turut disediakan. Melalui program ini, masyarakat miskin telah dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka dan seterusnya mengecapi kualiti hidup yang lebih baik.

Penyusunan semula masyarakat ialah untuk melahirkan penyertaan dan perkongsian penuh antara etnik dalam usaha pembangunan sosioekonomi negara selaras dengan corak penduduk berbilang etnik. Di bawah strategi ini, pelbagai dasar dan program dirangka dan dilaksanakan untuk mempercepatkan lagi pengurang jurang perbezaan ekonomi antara etnik dan juga menentukan dalam proses pembangunan. Semua rakyat berpeluang mendapat perkejaan, mengambil bahagian cergas dan memperolehi hak milik dan penguasaan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Antara langkah yang diambil termasuklah penubuhan agensi amanah seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (SEDC), Perbadanan Nasional (PERNAS) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB), menyediakan peluang dan ruang kepada Bumiputera untuk mengambil bahagian dalam aktiviti berasaskan perdagangan. Strategi untuk pembelajaran dan latihan pantas menyediakan peluang kepada pelajar-pelajar Bumiputera yang berpotensi untuk mengikuti kursus-kursus profesional, pengurusan dan teknikal, sama ada di dalam institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.

Pertumbuhan negara mula perlahan pada awal 1980an terutamanya disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang berpanjangan dan disusuli dengan kejatuhan harga minyak kali kedua pada tahun1979. Kejatuhan harga komoditi eksport telah memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan eksport. Akibatnya, Malaysia mengalami defisit berkembar yang berkaitan dengan belanjawan Kerajaan dan imbangan bayaran negara.

 

Structural Adjustments, 1984-1990

Daripada pengalaman krisis ekonomi pada awal 1980an, mulai 1983 Kerajaan melaksanakan beberapa langkah bagi penstrukturan semula ekonomi. Langkah ini termasuklah mengawal perbelanjaan sektor awam untuk mengurangkan defisit fiskal Kerajaan dengan strategi pertumbuhan dipacu oleh sektor swasta. Bagi tujuan ini, Kerajaan memperkenalkan liberalisasi dan deregulasasi ekonomi serta menambahbaikan dasar dan insentif pelaburan untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta yang lebih rancak. Dalam usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan, Kerajaan melaksanakan pembaharuan pentadbiran dan institusi untuk mempertingkatkan daya kecekapan sektor awam. Pada masa yang sama, penswastaan agensi dan perusahaan sektor awam telah diperkenalkan.

Penekanan dasar Kerajaan telah diorientasikan semula ke arah membekalkan perkhidmatan infrastruktur dan sokongan untuk mewujudkan persekitaraan yang kondusif kepada sektor swasta untuk terus berkembang. Kerajaan secara beransur-ansur mengurangkan penglibatan langsung dalam aktiviti ekonomi yang mana sesetengah keadaan telah bersaing terus dengan sektor swasta.

Pada peringkat awal, pengurangan penglibatan sektor awam dalam ekonomi serta kedudukan ekonomi luaran yang lemah telah memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Walaubagaimanapun, ekonomi negara kembali pulih pada tahun 1987 dan terus berkembang pesat dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 9.3 peratus setahun bagi tempoh 1988-90, iaitu rekod pencapaian tertinggi sejak kemerdekaan. Pendapatan per kapita pada harga nominal yang merosot pada 1986 meningkat sebanyak 6.3 peratus setahun kepada RM6,224 pada tahun 1990. Kedudukan fiskal Kerajaan hampir seimbang pada tahun 1990 dan imbangan pembayaran negara beralih kepada lebihan dengan mencatat RM6.6 bilion atau 7.9 peratus kepada KNK pada tahun 1987. Pada 1989 sumbangan sektor swasta kepada pertumbuhan ekonomi telah mengatasi sektor awam, menjadikan transformasi ekonomi Malaysia kepada ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta.

Transformasi struktur ekonomi dengan ketara telah berlaku pada 1980an. Sektor pembuatan mencatat pertumbuhan terpantas dengan kadar pertumbuhan 10.4 peratus setahun dan menyumbang22.6 peratus kepada KDNK, mengatasi sumbangan sektor pertanian. Dekad itu juga menyaksikan kepelbagaian ekonomi lebih meluas kepada industri yang lebih maju yang mana kemuncaknya ialah pengeluaran kereta nasional. Langkah ini berdasarkan kepada situasi bahawa negara perlu mengurangkan pergantungan kepada import barang modal dan barangan perantaraan untuk mengekalkan pertumbuhan, menggerakkan industri sokongan, dan mengambil pengalaman negara membangun yang menunjukkan bahawa sumbangan industri berat adalah faktor penting kepada ekonomi. Walaupun menghadapi perbagai masalah dan kelemahan terutamanya di pertengahan 1980an, kemajuan telah dicapai dalam pertumbuhan ekonomi serta ekuiti. Pada akhir tempoh DEB, ekonomi telah kembali kepada landasan pertumbuhan yang tinggi dengan pemulihan kestabilan fiskal dan kewangan, imbangan pembayaran yang lebih kukuh dan pengurangan beban hutang luar negara. Kemasukan dana modal luar pula adalah lebih besar daripada yang pernah dialami sebelumnya. Insiden kemiskinan telah menurun, corak pekerjaan juga semakin menampakkan komposisi etnik manakala corak pemilikan ekuiti juga telah bertambah baik.

 

Prosperity and Adversity 1991 - 2000

Tahun 1990an bermula dengan pengisytiharan Wawasan 2020 yang membayangkan Malaysia menjadi negara maju dengan acuannya sendiri pada tahun 2020. Ia juga menandakan permulaan Dasar Pembangunan Negara (DPN). Dasar ini yang dibina atas gagasan Dasar Ekonomi Baru (DEB), meletakkan “pembangunan seimbang” di dalam kerangka pembangunan ekonomi yang berkembang pantas dengan ekuiti sebagai teras utamanya. Dalam konteks ini, DPN memperkenalkan beberapa dimensi baru. Dimensi ini melibatkan perubahan fokus strategi pembasmian kemiskinan kepada pembasmian miskin tegar di samping mengurangkan kemiskinan umum;pengwujudan lebih banyak peluang pekerjaan; peningkatan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna di dalam sektor ekonomi moden melalui pengukuhan komuniti Perdagangan dan Industri Bumiputera; penglibatan sektor swasta yang lebih besar dalam proses penstrukturan penyertaan Bumiputera dan pembangunan modal insan.

Pada awal dan pertengahan 1990an Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang pantas. Di antara 1991 hingga1997 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga malar berkembang sebanyak 8.5 peratus setahun dengan pendapatan per kapita meningkat dua kali ganda. Persekitaraan ekonomi makro yang kondusif telah berjaya menarik kemasukan pelaburan yang besar dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Walau bagaimanapun, krisis Kewangan Asia 1997/98 telah menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara. Krisis yang bermula pada pertengahan 1997 ini dicetuskan oleh serangan spekulatif ke atas matawang di beberapa negara Asia Timur termasuklah Ringgit. Walaupun ia merencatkan pencapaian sebahagian daripada sasaran DEB, Malaysia terselamat daripada kesan krisis yang lebih teruk seperti pengangguran yang tinggi, kemiskinan dan kebankrapan yang besarsebagaimana yang dihadapi oleh beberapa negara lain. Ini disebabkan oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta tindakan pragmatik dan cepat yang diperkenalkan oleh Kerajaan semasa krisis. Kombinasi dasar kewangan dan fiskal yang ketat seperti menaikkan kadar faedah dan mengurangkan perbelanjaan awam sebanyak 20%, serta penstrukturan semula sektor kewangan pada peringkat permulaan krisis yang disarankan oleh IMF telah membawa kesan negatif kepada ekonomi.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ditubuhkan pada 7 Januari 1998 bagi menasihati Kerajaan mengenai langkah dan strategi untuk membendung kemerosotan ekonomi yang semakin teruk dan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi. Pada 23 Julai 1998, MTEN telah melancarkan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PPEN) yang mengandungi 6 objektif dan 40 tindakan bertujuan menstabilkan nilai Ringgit, memulihkan keyakinan pasaran, mengekalkan kestabilan sistem kewangan, memperkukuh asas ekonomi makro, meneruskan agenda sosio ekonomi dan memulihkan semula sektor yang terjejas teruk oleh krisis. Di bawah PPEN, Kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan bernilai RM7 bilion, meluaskan dana sedia ada dan menyediakan dana khas baru untuk memastikan pemberian kredit yang berterusan pada kos yang munasabah bagi sektor yang diberi keutamaan. Pada 1 September 1998, langkah telah diambil untuk menstabilkan ekonomi dan kadar pertukaran melalui kawalan modal dan penambatan Ringgit pada kadar RM3.80 bagi USD1.

Kerajaan juga telah mengambil langkah memperkukuh daya tahan sektor kewangan untuk mengelakkan risiko sistemik dan memastikan kecekapan fungsi sistem perbankan sebagai perantara diteruskan memandangkan ia amat penting dalam pemulihan ekonomi. Beberapa langkah telah diperkenalkan untuk menstruktur semula dan memperkukuh sektor kewangan dengan matlamat untuk membebaskan bank daripada bebanan aset bermasalah, memperkukuh dan membantu permodalan semula institusi perbankan, meningkatkan kecekapan proses perantaraan dan mempercepat penyusunan semula hutang korporat. Di antara tindakan yang diambil adalah memberhentikan sistem pemeringkatan institusi perbankan dan menubuhkan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta), sebuah syarikat pengurusan aset negara; Danamodal Nasional Berhad (Danamodal), sebuah syarikat khas; dan Jawatankuasa Penstrukturan Hutang Korporat (CDRC). Lain-lain tindakan yang telah dilaksanakan termasuklah memulihkan pasaran modal dan memperbaiki pengendalian korporat, penguatkuasaan kawalan matawang terpilih dan memperkukuh sistem pasaran buruh.

Langkah yang diperkenalkan telah memulihkan ekonomi dengan ketara, menghasilkan lebihan dalam akaun semasa Imbangan Pembayaran, meningkatkan pelaburan dari luar negara dan mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur keseluruhannya. Walaupun ekonomi mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 7.4 peratus dalam tahun 1998, ia kembali meningkat pada kadar purata 7.5 peratus dalam tempoh dua tahun 1999 dan 2000. Pendapatan per kapita pada harga semasa yang menurun pada tahun 1998, meningkat kepada RM14,529 pada tahun 2000, mengatasi paras sebelum krisis. Kadar pengangguran kekal pada 3.1 peratus. Prestasi ekonomi pasca krisis yang memberangsangkan mencerminkan kejayaan Kerajaan dalam menangani krisis ekonomi terbesar pada tahun 1990an.

 

Ke Arah Keutuhan dan Daya Saing Negara, 2001 - 2010

Dasar Wawasan Negara (DWN) dilancarkan pada tahun 2001 merupakan pembangunan dekad kedua Wawasan 2020 yang menumpukan kepada meningkatkan keutuhan dan berdaya saing negara. DWN mengandungi strategi penting daripada dua dasar sebelumnya iaitu DEB dan DPN di samping beberapa dimensi baru. Dasar ini termasuklah membangunkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berasaskan berpengetahuan, menjana pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh sumber dan kekuatan domestik, dan mencapai penyertaan Bumiputera yang berkesan serta pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus pada 2010.

Walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada tahun 2001, sebanyak 0.5 peratus akibat kejatuhan permintaan global bagi barangan elektrik dan elektronik serta peristiwa 11 September di Amerika Syarikat, namun ia kembali rancak pada tahun 2002 dengan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus. Wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) yang melanda pada tahun 2003 dan peperangan di Iraq juga tidak begitu menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini adalah hasil daripada tindakan awal Kerajaan yang berkesan menerusi pelaksanaan Pekej Strategi Baru pada bulan Mei 2003. Di bawah Pakej ini, empat strategi telah digaris iaitu, menggalakkan pelaburan sektor swasta, memperkukuh daya saing negara, membangunkan sumber-sumber pertumbuhan baru, dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian. Pelaksanaan Pekej tersebut telah meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam aktiviti ekonomi domestik serta disokong oleh permintaan luar yang lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi telah mencatat pencapaian yang lebih baik daripada yang dijangkakan, iaitu berkembang sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2003 dan 6.8 peratus pada tahun 2004.

Mulai separuh tahun kedua 2008, ekonomi dunia telah mengalami krisis kengan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun telah mengalami kemelesetan ekonomi. Keadaan ini semakin meluas pada tahun 2009 dengan hampir semua negara maju mengalami kemelesetan ekonomi. Pertumbuhan dunia pada menyederhana kepada 2.8 peratus tahun 2008 dan jatuh kepada 0.6 peratus tahun 2009. Akibatnya, permintaan ke atas eksport merosot lebih daripada 10 peratus dan akhirnya ekonomi telah meleset sebanyak 1.6 peratus pada tahun 2009. Bagi menangai krisis ini, Kerajaan telah melaksanakan dua Pakej Ransangan Ekonomi (PRE), iaitu sebanyak RM7 bilion bagi PRE I dan RM60 bilion bagi PRE II. Ini merupakan 9.3 peratus kepada keluaran dalam negari kasar. Dengan langkah ini, ekonomi berjaya mencatat pemulihan bentuk “V” (v-shaped) kepada 7.2 peratus pada tahun 2010. Walau bagaimanapun, pada tahun 2011, ekonomi dunia lagi sekali menyederhana dengan pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus (3.0 peratus: 2010) akibat krisis hutang berdaulat yang berlaku di kawasan Euro, terutamanya bagi negera Potugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol (PIGS). Kegawatan ini telah ditokok pula oleh kesan negatif masalah ekonomi di Amerika Syarikat, seperti penganguran yang tinggi, hutang negara yang besar serta defisit yang terus melebar. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat menyederhana kepada 1.6 peratus pada tahun 2011 berbanding 2.4 peratus pada tahun 2010. Walau bagaimanapun, kesan ekonomi dunia telah juga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya pada tahun 2011 dengan mencatat pertumbuhan 5.1 peratus. Ini adalah merupakan kesan yang minimum daripada sektor luaran berikutan langkah Kerajaan yang menumpu kepada pertumbuhan berasaskan permintaan dalam negeri, terutamanya daripada perbelanjaan dan pelaburan sektor swasta. Pada tahun 2012, ekonomi berjaya mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan lebih tinggi, iaitu melebihi 5 peratus berbanding dengan sasaran antara 4 hingga 5 peratus.