img

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Selamat datang ke portal rasmi Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM). UPE, JPM yang dahulu dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) merupakan agensi pusat Kerajaan yang bertanggungjawab dalam menerajui pembangunan sosioekonomi negara melalui perancangan yang berkualiti ke arah pembangunan negara yang inklusif, adil dan saksama. Selaras dengan penubuhan semula UPE pada Mac 2020, MEA telah dimansuhkan dan UPE diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pewujudan semula UPE telah diperkukuhkan lagi dengan tanggungjawab yang lebih besar di mana 5 agensi diletakkan di bawah kawalannya, iaitu Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (SEDCs) dan Research Management Agency (RMA).

Selari dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat serta kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), UPE, JPM sentiasa bersedia menyahut cabaran serta mempelbagaikan ilmu pengetahuan dalam era global ini. Portal rasmi ini merupakan antara gerbang maklumat mengenai ekonomi negara dan perkhidmatan serta tanggungjawab yang tertakluk di bawah UPE, JPM.

Sejajar dengan hasrat untuk memperluas jangkauan perkhidmatan dengan peningkatan libat urus bersama rakyat melalui penggunaan perkhidmatan atas talian, platform maya ini juga menyediakan ruang kepada rakyat untuk menyampaikan cadangan, aduan, pertanyaan dan maklum balas secara langsung kepada UPE, JPM. Portal rasmi ini diharapkan dapat memberi manfaat berterusan sebagai nadi maklumat dan perkongsian strategik kepada khalayak sasar, selari dengan visi UPE, JPM sebagai peneraju pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif dan progresif demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.

Teruskan menyokong kami dan ikuti perkembangan terkini di portal rasmi UPE, JPM.

Salam hormat,
 

DATO’ SAIFUL ANUAR BIN LEBAI HUSSEN
Ketua Pengarah
Unit Perancang Ekonomi
Jabatan Perdana Menteri