tok-pa

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai visi yang jelas untuk memastikan rakyat dilindungi dan mendapat pembelaan di saat-saat negara serta seluruh dunia menghadapi cabaran yang amat besar. Beliau mahu memastikan setiap rakyat mempunyai makanan di atas meja dan tiada siapa pun yang tertinggal.

Krisis kesihatan, pandemik Covid-19 adalah cabaran yang terbesar menyebabkan ekonomi negara terjejas dan rakyat kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Cabaran baharu yang perlu dilalui ini memerlukan perhatian yang khusus dan terperinci.

Penyusunan kerajaan baharu dengan mewujudkan kembali Unit Perancang Ekonomi (UPE) sebagai agensi pusat yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menggantikan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi membuktikan bahawa YAB Perdana Menteri memberikan perhatian yang khusus untuk memastikan ekonomi Malaysia diletakkan di atas asas yang kukuh.

Fokus UPE kini adalah untuk menyiapkan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan memacu pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang bermula 2021. UPE menjadi antara teraju dalam Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) untuk merangka pelan jangka sederhana bagi mengukuhkan ekonomi negara.   

Justeru, portal rasmi ini merupakan salah satu perantara bagi memastikan rakyat dapat berinteraksi secara langsung dengan saya serta warga kerja UPE, JPM dan mempunyai akses kepada maklumat yang terkini mengenai ekonomi negara. Pengunjung laman ini juga dialu-alukan untuk mengutarakan pandangan, pendapat dan maklum balas mengenai UPE, JPM dan hal ehwal berkaitan ekonomi agar perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian dasar serta program holistik dapat direalisasikan ke arah keberhasilan matlamat pembangunan sosioekonomi negara.

Saya berharap portal rasmi ini akan menjadi saluran dan sumber rujukan yang bermanfaat kepada golongan sasar serta menepati tujuannya dalam mendekati dan memperat hubungan antara saya dan warga UPE, JPM dengan rakyat.

Salam hormat,
 

DATO' SRI MUSTAPA MOHAMED
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)